© 2016 Laman Web Rasmi PSA

PENYERTAAN KE PERSIDANGAN TAHUNAN THE CHARTERED INSTITUTE OF PUBLIC FINANCE AND ACCOUNTANCY (CIPFA) 2016

Pada 12 hingga 15 Julai 2016,  Persatuan Akauntan Sektor Awam Malaysia (PERASAMA) dengan kerjasama The Chartered Institute Of Public Finance And Accountancy (CIPFA) telah menyelaraskan penyertaan akauntan-akauntan sektor awam Malaysia ke Persidangan Tahunan The Chartered Institute Of Public Finance And Accountancy (CIPFA) 2016 yang diadakan di Manchester Central Convention Complex, Manchester, United Kingdom. Seramai 8 orang peserta telah menyertai program ini yang diketuai oleh YBrs. En. Saat bin Esa, Timbalan Akauan Negara (Korporat) dan ahli delegasi terdiri daripada akauntan-akauntan dari Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), Pejabat Kewangan Negeri Terengganu dan Lembaga Pelabuhan Klang.

 

Program ini diadakan dengan tujuan untuk memberikan pendedahan kepada para akauntan sektor awam berhubung isu-isu yang dibincangkan dan perkembangan yang mendalam berhubung pengurusan perakaunan dan kewangan dalam sektor awam di peringkat antarabangsa. Melalui sesi ini juga, para akauntan dapat menimba pengetahuan dan perkongsian pengalaman dari pelbagai sumber yang praktikal berhubung pelaksanaan polisi dan tatacara perakaunan yang diamalkan di negara yang telah mempraktikkan perakaunan asas akruan. Di samping itu, para peserta juga mendapat pengalaman dan pemerhatian tentang kaedah dan proses penganjuran persidangan di peringkat antarabangsa terutama dari aspek pengisian dan skop perbincangan.

 

Lawatan dimulai dengan sesi mesyuarat bersama pihak CIPFA pada 12 Julai 2016. Mesyuarat ini memberi tumpuan pada mewujudkan kerjasama antara pihak PERASAMA dan CIPFA untuk dalam membangunkan profesionalisme dikalangan akauntan sektor awam di Malaysia. Pelbagai program telah ditawarkan oleh pihak CIPFA antaranya program Diploma in International Public Sector Accounting Standard (IPSAS) dan Leadership Academy Program.

Mesyuarat bersama wakil dari CIPFA

Bergambar bersama wakil CIPFA

Pengisian sepanjang persidangan penuh dengan sesi pembentangan kertas kerja dan bengkel yang membincangkan topik-topik yang membuka minda para peserta terhadap peranan besar yang perlu dimainkan oleh akauntan sektor awam. Antara tajuk yang dibincangkan dalam sesi pembentangan kertas kerja adalah:

 

  1. Economic & Fiscal Outlook;

  2. The Local Growth Agenda;

  3. Infrastructure and Growth;

  4. Future Vision.

 

Dalam sesi bengkel pula, para peserta dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil bagi mengambil bahagian dalam perbincangan tajuk-tajuk yang lebih spesifik, antaranya:

 

  1. A Walk Through The Process of Getting a Rating and Issuing Debt;

  2. Shared Working, Allocated Risk;

  3. Developments In Public Sector Budgeting and Forecasting.

 

Melalui sesi pembentangan dan bengkel yang dihadiri, para peserta dapat melihat fokus yang lebih luas yang diberikan dalam persidangan yang dianjurkan oleh CIPFA dari aspek tajuk kertas kerja dan isu-isu yang dibincangkan. Diskusi yang dijalankan tidak terlalu tertumpu kepada isu perakaunan dan kewangan tetapi lebih melihat secara praktikal tentang fungsi akauntan sektor awam dalam kerangka ekonomi negara dan global.

Lokasi persidangan - Manchester Central Convention Complex

Pendaftaran peserta persidangan

Sesi pembentangan kertas kerja

Delegasi juga mengambil kesempatan untuk mengadakan sesi pertemuan dengan pihak Chartered Institute of Management Accountants (CIMA) untuk membincangkan tentang kerjasama yang boleh dilaksanakan dalam memperkasakan pelaksanaan Activity Based Costing (ABC), dengan mengambil pengalaman kerajaan UK dalam melaksanakannya. Selain itu, pelaksanaan pelaporan bersepadu (Intergrated Reporting) juga dibincangkan. Pihak CIMA amat berbesar hati untuk memberikan khidmat nasihat  berbentuk akademik dan praktikal bagi memastikan pelaksanaan ABC dan pelaporan bersepadu yang dilaksanakan di Malaysia membuahkan hasil yang maksimum. Kerjasama dari aspek latihan dan bahan rujukan juga ditawarkan oleh pihak CIMA. Selain itu, pendedahan kepada para akauntan sektor awam di Malaysia juga boleh dibuat melalui pembentangan kertas kerja dalam persidangan akan datang.

Sesi perbincangan dengan pihak CIMA

Bergambar bersama wakil CIMA UK